Labels

Post Pertama


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan yang menciptakan kita dan mengurniakan kita pelbagai rahmat dan nikmat tanpa perlu kita meminta apatah lagi membayarnya.

Syukur kepada Allah kerana hasrat untuk mewujudkan sebuah akhbar mingguan menerusi medium blog buat pelajar Islam di Vanderbilt terutama kepada pelajar Melayu akhirnya terlaksana jua. Tarikh keramat 15 Februari 2010 menyaksikan penubuhan blog akhbar ini yang tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk memberi informasi tentang akademik, sahsiah, agama dan isu semasa kepada para pelajar di Vanderbilt.

Dalam arus kemodenan berasaskan kelajuan internet ini, blog dan laman web bercambah dengan banyaknya bagaikan salji yang turun pada bulan lepas sehingga mampu menutupi serta mempengaruhi pemikiran manusia dan tidak kurang juga blog yang menggoyahkan pemikiran dan akidah umat Islam.

Kita dapat lihat di Vandy sahaja, di kalangan para pelajar Vandy, hampir semua pelajar Melayu mempunyai blog atau laman web tersendiri. Ada yang ingin menyuarakan pendapat mereka, menyatakan ketidakpuasan hati, catatan diari peribadi malahan ada yang hanya menjadikannya sebagai hobi di waktu lapang.

Namun, saya fikir lebih baik jika kita hanya mempunyai satu laman atau blog yang mampu memberikan informasi yang ilmiah dan berguna kepada kita baik dari segi akademik, agama, kehidupan dan sebagainya lagi.

Dengan berpandukan niat ini, maka blog berunsur akhbar ini berjaya dirasmikan di komputer Dell saya ini dan saya mengajak para pelajar Vandy untuk menulis di ruangan blog ini dengan syarat-syarat yang dipersetujui bersama.

Apa kepentingan yang saya lihat daripada blog ini ialah kita dapat menambahkan ilmu pengetahuan, dapat mematangkan fikiran dengan pemikiran daripada ramai penulis berbakat serta dapat mengetahui event yang akan dijalankan di Vanderbilt seperti program Halaqah dan pelbagai lagi. Firman Allah dalam surah Az-Zumar (39:9):
قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُوا الْأَلْبَابِ
Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.
Allah telah membuat pertanyaan yang mana secara logiknya semua manusia mengetahuinya dan Allah (yang lebih mengetahui hal ehwal ciptaanNya) menegaskan bahawa dengan ilmu sahajalah, manusia mampu mengubah kedudukan mereka dari hina kepada mulia, dan dari rendah kepada tinggi. Namun, ilmu di sini jangan disalahertikan sebagai ilmu agama sahaja malah segala ilmu yang diterokai manusia. Walau sehingga tahun 2020 nanti pun yang dikatakan kita mampu menerbangkan kereta-kereta, penerokaan ilmu tersebut hanyalah setitik dari lautan ilmu Allah yang menciptakan otak kita. Firman Allah lagi dalam surah Luqman (31:27) :
وَلَوْ أَنَّمَا فِي الْأَرْضِ مِن شَجَرَةٍ أَقْلَامٌ وَالْبَحْرُ يَمُدُّهُ مِن بَعْدِهِ سَبْعَةُ أَبْحُرٍ مَّا نَفِدَتْ كَلِمَاتُ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Jadi, marilah kita sama-sama menjayakan dan memeriahkan blog akhbar ini supaya sama-sama kita mendapat manfaat darinya.
Oleh: Mr. FBI



3 comments:

  1. bismillah..dgn ini dirasmikan ruangan komen :)
    [n.q.d]

    ReplyDelete
  2. insyaAllah sume amik bahagian......:)

    ReplyDelete
  3. alhamdulillah...moga2 istiqamah ye..aminn..

    ReplyDelete