Labels

Tur Bee Yeah?

[tag: menelusuri maksud perkataan tarbiyyah]

Tarbiyyah itu fardhu ain. Wajib.
Apa itu tarbiyyah? Tentunya, bila sebut perkataan arab sikit, orang mula merasakan ini budak kuat agama, budak surau dan sebagainya. Apatah lagi bila di tambah dengan sebutan usrah, halaqah, jaulah, daurah, muktamar orang mula berfikir, mungkin ini bukan urusan kita. Walhal, semuanya itu bermaksud ringkas dalam bahasa melayu cuma bahasanya sahaja arab. Rasanya selalu saja kita dengar bahasa arab, dalam solat guna bahasa arab, doa dalam bahasa arab dan bismillah itukan juga bahasa arab?

Ya, tarbiyyah itu memang berasal daripada perkataan bahasa arab dan maksud mudahnya dalam bahasa melayu ialah pendidikan. Eh, selalu je kita dengar perkataan pendidikan ni? Kenapa mahu diarabkan? Sebabnya pendidikan hanya satu perkatan yang membawa maksud ringkas seperti perkataannya sendiri. Tetapi Tarbiyyah bermaksud lebih lagi iaitu pendidikan yang menyentuh jiwa kemudiannya meliputi akal dan jasad dan berkembang menjadi sebuah pemikiran yang mempengaruhi tindakan seseorang.

Justeru, ‘direct translation’ tidaklah begitu menepati walaupun kata akarnya membolehkan kita faham maksud tarbiyyah. Tapi, apa hal sebenarnya tarbiyyah ini? Orang selalu mendengar perkataan ini berkait rapat dengan agama. Ya, Tarbiyyatul Islamiyyah = Pendidikan Islam.

Perkataan ini maksudnya besar. Kalau tersasar praktikal perkataan tarbiyyah ini, seseorang boleh luntur akidahnya, akhlaknya, ibadatnya, dan peribadi Islamnya.

Tarbiyyah itu sesuatu yang menyentuh jiwa. Sesuatu yang membuat kita ada 'feel', layaan. Contohnya, kalau kita minat pada cerita korea, setiap masa terluang kita isikan dengan menonton cerita korea lalu ianya menjadi tarbiyyah kepada kita tarbiyyah korea. Sebab, cerita korea menyentuh jiwa kita. Lalu kerana kita ditarbiyyahkan dengan cerita korea, ianya menyeliputi akal kita dan kemudiannya jasad kita. Membentuk satu pemikiran, yang berbunga-bunga seperti dalam cerita korea lalu membuahkan tindakan seperti cerita korea. Hasilnya, kita seperti ingin rasa melawa seperti hero/heroin cerita korea, rambut pun nak macam style orang korea, pakaian dan sebagainya, semuanya ingin seperti cerita korea. Kalau boleh kahwin pun nanti nakkan orang korea. Itu kerana hasil tarbiyyah sesorang itu tarbiyyah korea.



Begitu juga, jika kita seorang peminat gambar-gambar fotografi yang cantik. Kita tarbiyyahkan diri kita melihat gambar yang cantik-cantik, teruja dengan melihat orang lain punya album membuatkan jiwa kita tersentuh dengan setiap karya yang cantik dan kemudiannya membuahkan pemikiran menghasilkan album gambar sendiri. Lalu, akan mempengaruhi tindakan seseorang dengan membeli kamera yang mahal, lens yg mahal dan belajar bagaimana ingin mengambil gambar yang cantik-cantik dan mengeditnya. Sehinggakan mengambil masa berjam-jam untuk hasilkan satu gambar yang cantik untuk dapat kepuasan tarbiyyah kamera kita.

Tapi, apakah tarbiyyah seperti contoh di atas salah? Tidak, langsung tidak salah. Setiap bidang boleh menjadi tarbiyyah. Tapi sebelum tarbiyyah di atas kita resapkan ke dalam jiwa, satu tarbiyyah yang jauh lebih perlu diutamakan sebelum tarbiyyah-tarbiyyah di atas. Itulah tarbiyyatul Islamiyyah, kemudian baru tarbiyyah yang lain mengikuti kerana tarbiyyatul Islamiyyah itu fardhu ain, dan tarbiyyah yang lain hanyalah fardhu kifayah. Mengapa begitu pula? Sebabnya kita muslim, dan setiap muslim ada tanggungjawab kepada Islam. Untuk menjalankan tanggungjawab kita kepada Islam kita harus ditarbiyyah.

Siapa yang suruh tarbiyyah ni? Ada ustaz, ulama besar mana-mana suruh ke? Bukan siapa-siapa yang suruh begitu, bukan ustaz, bukan ulama-ulama, tapi tuhan kita, Allah SWT yang menyuruh begitu. Kita kan perlu ikut suruhan Allah kerana kita Muslim. Kalau tidak nanti kita derhaka dengan Allah kerana mengingkari suruhanNya.
Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku. [Az-Zariyaat 51:56]
Haa… Itukan perintah Allah. Tapi, abdi tu bukan sembah Allah ke? Yang kita selalu solat itu, kira sembah Allah lah kan? Kita doa, kita puasa, kira sembah Allah tu kan?
Hurmm.. betul tu. Itu memang perbuatan tanda kita menyembah Allah, dan itu syarat nak jadi Muslim. Tapi, pencuri juga ada yang solat, puasa dan zakat. Bahkan perogol juga, ada yang puasa, solat dan bayar zakat. Orang yang minum arak pun ada yang naik haji. Apa beza kita dengan orang-orang ni?



Itulah bezanya tarbiyyatul Islamiyyah. Dan, tarbiyyatul Islamiyyah ini kita perlukan pada setiap masa dan peringkat umur sebenarnya. Kita tidak boleh berhenti ditarbiyyah. Sebab itu, manusia perlukan tarbiyyah dan itu suruhan Allah SWT. Hatta, dah nak ke lubang kubur pun nanti, kita masih lagi perlukan tarbiyyah. Pendidikan Agama Islam SPM dahulu belum cukup lagi untuk tarbiyyah diri, kerana kita banyak mengafal sebenarnya daripada menghayati. Sebagai manusia, kita tidaklah sempurna, dan kerana itu perlu bertarbiyyah setiap masa.

Tapi, bagaimana nak ditarbiyyah? Kena pergi dengar ceramah selalu ke? Kena baca blog-blog agama ke? Bagaimana?

Hampir dah tu caranya, namun masih lagi belum sampai kepada tarbiyyah yang sebenar. Tarbiyyah itu perlu dari hati ke hati. Ceramah mungkin menyentuh jiwa tapi tidak daripada satu hati ke satu hati yang lain.

Lalu, apakah tarbiyyah yang lebih dekat?

Dari sinilah kita akan dengar konsep tarbiyyah melalui usrah. Lalu, perkataan usrah ini juga merupakan perkataan bahasa arab yang juga punyai maksud ringkas dalam bahasa melayu tetapi maksudnya lebih besar lagi sebenarnya. Dan yang menulis ni pula dah malas untuk ulas apa itu maksud usrah, jadi nanti-nantilah kita telusuri maksud perkataan usrah dan apa itu usrah. Harap yang membaca dapat fahami sekarang ini, apa itu tarbiyyah walaupun penerangan ini masih lagi peringkat dasar sebenarnya tapi insyaAllah melengkapi.Lalu saya tinggalkan persoalan untuk kita semua mencari jawapan, adakah kita sudah ditarbiyyah?

p/s: tarbiyyah bidang yang 'lain' boleh luntur jika tarbiyyatul Islamiyyah menguasai diri. Harap betulkan kalau ada yang salah.

IkhwanJamal
kbrkatn.wordpress.com