Tasbih Kafarah Selepas Majlis


Saya tercari-cari di mana dalil kita membaca tasbih kafarah selepas majlis seperti usrah, ceramah dsb sebab di sini tak ada pula syeikh mana-mana bila habis majlis kata "kita tangguhkan majlis dengan tasbih kafarah dan surah al-Asr" seperti yang kita biasa lakukan.

Tetapi sebenarnya adalah menjadi sunnah rasul apabila kita selesai sesuatu majlis untuk kita bertasbih memohon ampunan Allah dan memperbaharui syahadah jika dalam majlis tersebut terdapat dosa dan salah silap. "Majlis" di sini diterjemahkan terus dari bahasa Arab yang juga disebut "majlis" (kata asal jalasa = duduk). Jadi, majlis bukan hanya bermaksud majlis ceramah, tazkirah, usrah, halaqah tetapi turut merangkumi makna "event", "occasion" hatta kalau kita lepak-lepak dengan kawan pun itulah majlis. Dan majlis boleh jadi majlis yang baik, tidak ada kata-kata kesat di dalamnya, tidak ada maki hamun dan sebagainya, dan ada majlis yang sebaliknya. 

Mungkin sebentar tadi kita berada dalam majlis di mana orang berkata buruk tentang perihal kawan kita. Dan kita pun dah terfikir yang bukan-bukan pasal kawan kita itu. Berdasarkan hadis berikut, hendaklah kita bertasbih dan memperbaharui syahadah agar Allah mengampunkan dosa kita sebentar tadi. 


Sama ada perkara itu betul atau salah, itu cerita lain. Tapi jangan sekali-kali kita bersangka buruk dengan orang lain. Jangan latih diri kita bermusuh, rasa tak sedap hati, rasa asyik serba tak kena dengan orang lain. Kadang-kadang, kita mudah tulis ayat-ayat sindiran di status YM dan Facebook untuk melempiaskan rasa di hati. Jangan begitu, kalau ada perkara buruk yang kita dengar, kita mesti "clarify" dengan kawan kita itu. Kalau betul dia buat, kita nasihatkan. Kalau salah apa kita dengar, at least kita dah puas hati dan kawan kita itu pun rasa tenang sebab semua telah jelas.

Mari kita ambil iktibar dan jadikan hadis berikut sebagai amalan. Dari Abu Hurairah r.a dia berkata, Rasulullah S.A.W bersabda, 


"Barangsiapa menghadiri sebuah majlis yang banyak terdapat keributan (huru-hara) di dalamnya, lalu sebelum ia bangkit darinya (majlis tersebut) ia membaca: 'Maha suci Engkau ya Allah aku memujiMu, aku bersaksi tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Aku memohon ampunan dan bertaubat kepadaMu.' Pastilah Allah menghapus kesalahannya yang terjadi di majlis tersebut. "



Allah lebih mengetahui...