[tag: adab tandas (pesanan buat lelaki)]
Bermula dari bangun tidur, sehinggalah mata ini tidur kembali, semua perlakuan seharian telah diberikan garis panduan dalam Islam. Termasuklah juga apabila berada di dalam tandas. Kalau di negara sendiri majoriti tandas mempunyai paip untuk menyucikan alat kemaluan, tetapi tidak di luar negara.
Adab dalam tandas ialah elemen yang penting dalam bersuci. Tetapi hal ini dilihat seperti dipandang remeh dan ramai yang apabila ke luar negeri kebanyakannnya bertanya tentang makanan sahaja (zabiha, non-zabiha) seperti terlupa akan hal lain yang juga diberikan panduan dalam Islam.
Pada zaman Rasulullah, tandas mereka juga belum berpaip seperti di luar negeri. Malah, mereka tiada tandas awam pun dan tempat pembuangan najis mereka ialah tempat terbuka yang dikhaskan tanahnya di sebuah kawasan terpencil. Tempat pembuangan najis itu tentulah kotor dan berbau kerana tiada sistem tandas yang ada seperti hari ini. Kerana itu Rasulullah telah mengajarkan kita untuk bersuci (beristinjak):
Golongan Musyrikin pernah mempersoalkan dengan berkata: “Nabi kamu mengajar kamu semua perkara sehinggakan cara buang air? Jawab Salman al-Farisi: “Ya! Baginda telah melarang kami mengadap kiblat ketika membuang air besar atau kecil, juga melarang kami beristinjak (membersih najis) dengan tangan kanan, melarang kami beristinjak dengan kurang dari tiga ketul batu dan melarang beristinjak dengan najis binatang dan tulang” [Hadis Riwayat Muslim]
Daripada hadis di atas, dapatlah kita faham, beristinjak tidak semestinya dengan air. Batu kering, atau di zaman ini kertas tisu juga dibenarkan sebagai alat bersuci. Jika ada air, itu lebih baik dan terjamin kesuciannya. Persoalannya, bagaimanakah Rasulullah mengajarkan adab kita membuang air?
Rasulullah mengajar kita membuang air dengan cara beradab dan praktikalnya lebih kepada kaum lelaki. Jika buang air, adab yang paling asasnya ialah buang air dalam posisi duduk. Namun, ada pengecualiannya.
Seperti dalam hadis yang diceritakan oleh sahabat Rasulullah SAW, Hudzaifah:
“Beliau (Rasulullah SAW) melewati tempat sampah suatu kaum, kemudian buang air kecil sambil berdiri” [Hadis Riwayat Muslim]
Walaupun hadis ini bercanggah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin, Saidatina Aishah RA:
“Barangsiapa yang mengatakan pada kalian bahwa Rasulullah SAW pernah buang air kecil sambil berdiri maka janganlah kalian membenarkannya (mempercayainya)” [Hadis riwayat tirmidzi]
Hal ini sebenarnya menunjukkan bahawa Rasulullah amat jarang sekali buang air berdiri, namun adakalanya dalam ‘keadaan tertentu’ Rasulullah membuang air secara berdiri dan perlakuan itu tidak pula dilihat oleh Aishah RA.
Jadi, apakah yang dimaksudkan ‘keadaan tertentu’ yang membolehkan seseorang buang air berdiri? ‘Keadaan tertentu’ itu ialah apabila tempat berkenaan sangat kotor dan tidak sesuai untuk buang air berdiri, dan Rasulullah juga menerangkan adab untuk membuang air sambil berdiri dalam sabdanya:
“Lakukanlah tata cara yang bisa menghindarkan kalian dari terkena percikan kencing.”
Percikan air kecil itu bukannya hal yang remeh. Ramai orang (lelaki) yang suka “pancut lepas” (buang air berdiri tanpa menjaga percikan) dan ini bukanlah adab yang sopan serta tidak menjamin kesuciannya. Bahaya jika seseorang terus bersikap begini kerana diceritakan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya kedua-dua mayat ini sedang diazab dan bukanlah kedua-duanya diazab sebab dosa besar yang terlalu besar. Adapun salah seorangnya tidak bersuci daripada kencing dan yang seorang lagi kerana berjalan ke sana ke mari mengadu-domba. Lalu Baginda mengambil pelepah buah tamar yang basah dan dipatahkan kepada dua bahagian. Kemudian Baginda pacakkan ke atas setiap kubur tersebut” [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]
Azab kubur menanti buat orang yang meremehkan hal beristinja’ (membersihkan kemaluan). Seseorang harus memastikan bahawa jangan ada percikan jika ingin buang air berdiri. Malah sangat tidak beradab jika tandas yang kita masuki itu bersih dan kita mengotorkan sekeliling tandas itu dengan bekas air kecil kita. Biarlah kita merasa susah sedikit dan berusaha untuk membuang air dengan lebih beradab daripada menanggung azab kubur disebabkan tidak membersihkan air kecil degan sempurna.
Tambahan lagi, jika kita mengotori tandas awam, kita boleh dilaknat! Rasulullah telah memberi amaran dalam sabdanya:
“Takutlah kamu kepada dua perkara yang menyebabkan dilaknat”. Sahabat bertanya: “Apakah dia dua perkara tersebut?”. Sabda baginda: “Orang yang membuang air besar di laluan orang ramai dan di tempat teduh mereka” [Hadis Riwayat Muslim]
Walaupun di dalam hadis menyentuh tentang air besar, kebanyakan ulama menafsirkan hadis ini juga tiada pengecualiannya bagi air kecil. Laluan orang ramai itu pula ditafsirkan sebagai tempat awam, samalah juga dengan tandas awam atau tandas yang dikongsikan dengan orang lain.
Jadi, perkara bersuci ialah perkara yang dipandang berat di sisi agama. Jangan pula kita meremehkannya. Islam itu syumul (lengkap menyeluruh). Marilah gunakan garis panduan tuhan agar kita menjadi orang yang bertakwa dan takut akan azab kubur.
Ikhwanjamal
kbrkatn.wordpress.com
No comments:
Post a Comment