Labels

Menjaga adab di dalam tandas

[tag: adab tandas (pesanan buat lelaki)]
Bermula dari bangun tidur, sehinggalah mata ini tidur kembali, semua perlakuan seharian telah diberikan garis panduan dalam Islam. Termasuklah juga apabila berada di dalam tandas. Kalau di negara sendiri majoriti tandas mempunyai paip untuk menyucikan alat kemaluan, tetapi tidak di luar negara.
Adab dalam tandas ialah elemen yang penting dalam bersuci. Tetapi hal ini dilihat seperti dipandang remeh dan ramai yang apabila ke luar negeri kebanyakannnya bertanya tentang makanan sahaja (zabiha, non-zabiha) seperti terlupa akan hal lain yang juga diberikan panduan dalam Islam.
Pada zaman Rasulullah, tandas mereka juga belum berpaip seperti di luar negeri. Malah, mereka tiada tandas awam pun dan tempat pembuangan najis mereka ialah tempat terbuka yang dikhaskan tanahnya di sebuah kawasan terpencil. Tempat pembuangan najis itu tentulah kotor dan berbau kerana tiada sistem tandas yang ada seperti hari ini. Kerana itu Rasulullah telah mengajarkan kita untuk bersuci (beristinjak):
Golongan Musyrikin pernah mempersoalkan dengan berkata: “Nabi kamu mengajar kamu semua perkara sehinggakan cara buang air? Jawab Salman al-Farisi: “Ya! Baginda telah melarang kami mengadap kiblat ketika membuang air besar atau kecil, juga melarang kami beristinjak (membersih najis) dengan tangan kanan, melarang kami beristinjak dengan kurang dari tiga ketul batu dan melarang beristinjak dengan najis binatang dan tulang” [Hadis Riwayat Muslim]
Daripada hadis di atas, dapatlah kita faham, beristinjak tidak semestinya dengan air. Batu kering, atau di zaman ini kertas tisu juga dibenarkan sebagai alat bersuci. Jika ada air, itu lebih baik dan terjamin kesuciannya. Persoalannya, bagaimanakah Rasulullah mengajarkan adab kita membuang air?
Rasulullah mengajar kita membuang air dengan cara beradab dan praktikalnya lebih kepada kaum lelaki. Jika buang air, adab yang paling asasnya ialah buang air dalam posisi duduk. Namun, ada pengecualiannya.
Seperti dalam hadis yang diceritakan oleh sahabat Rasulullah SAW, Hudzaifah:
“Beliau (Rasulullah SAW) melewati tempat sampah suatu kaum, kemudian buang air kecil sambil berdiri” [Hadis Riwayat Muslim]
Walaupun hadis ini bercanggah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin, Saidatina Aishah RA:
“Barangsiapa yang mengatakan pada kalian bahwa Rasulullah SAW pernah buang air kecil sambil berdiri maka janganlah kalian membenarkannya (mempercayainya)” [Hadis riwayat tirmidzi]
Hal ini sebenarnya menunjukkan bahawa Rasulullah amat jarang sekali buang air berdiri, namun adakalanya dalam ‘keadaan tertentu’ Rasulullah membuang air secara berdiri dan perlakuan itu tidak pula dilihat oleh Aishah RA.
Jadi, apakah yang dimaksudkan ‘keadaan tertentu’ yang membolehkan seseorang buang air berdiri? ‘Keadaan tertentu’ itu ialah apabila tempat berkenaan sangat kotor dan tidak sesuai untuk buang air berdiri, dan Rasulullah juga menerangkan adab untuk membuang air sambil berdiri dalam sabdanya:
“Lakukanlah tata cara yang bisa menghindarkan kalian dari terkena percikan kencing.”
Percikan air kecil itu bukannya hal yang remeh. Ramai orang (lelaki) yang suka “pancut lepas” (buang air berdiri tanpa menjaga percikan) dan ini bukanlah adab yang sopan serta tidak menjamin kesuciannya. Bahaya jika seseorang terus bersikap begini kerana diceritakan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya kedua-dua mayat ini sedang diazab dan bukanlah kedua-duanya diazab sebab dosa besar yang terlalu besar. Adapun salah seorangnya tidak bersuci daripada kencing dan yang seorang lagi kerana berjalan ke sana ke mari mengadu-domba. Lalu Baginda mengambil pelepah buah tamar yang basah dan dipatahkan kepada dua bahagian. Kemudian Baginda pacakkan ke atas setiap kubur tersebut”  [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]
Azab kubur menanti buat orang yang meremehkan hal beristinja’ (membersihkan kemaluan). Seseorang harus memastikan bahawa jangan ada percikan jika ingin buang air berdiri. Malah sangat tidak beradab jika tandas yang kita masuki itu bersih dan kita mengotorkan sekeliling tandas itu dengan bekas air kecil kita. Biarlah kita merasa susah sedikit dan berusaha untuk membuang air dengan lebih beradab daripada menanggung azab kubur disebabkan tidak membersihkan air kecil degan sempurna.
Tambahan lagi, jika kita mengotori tandas awam, kita boleh dilaknat! Rasulullah telah memberi amaran dalam sabdanya:
“Takutlah kamu kepada dua perkara yang menyebabkan dilaknat”. Sahabat bertanya: “Apakah dia dua perkara tersebut?”. Sabda baginda: “Orang yang membuang air besar di laluan orang ramai dan di tempat teduh mereka” [Hadis Riwayat Muslim]
Walaupun di dalam hadis menyentuh tentang air besar, kebanyakan ulama menafsirkan hadis ini juga tiada pengecualiannya bagi air kecil. Laluan orang ramai itu pula ditafsirkan sebagai tempat awam, samalah juga dengan tandas awam atau tandas yang dikongsikan dengan orang lain.
Jadi, perkara bersuci ialah perkara yang dipandang berat di sisi agama. Jangan pula kita meremehkannya. Islam itu syumul (lengkap menyeluruh). Marilah gunakan garis panduan tuhan agar kita menjadi orang yang bertakwa dan takut akan azab kubur.

Ikhwanjamal
kbrkatn.wordpress.com

Menutupi Kesalahan Orang Islam Satu Tuntutan

Si A : Mana menghilang kawan kamu tu?
Si B : Alah.. biasa ar dia hari-hari buat maksiat bukan aku tak tahu.


Terlalu mudah bagi kita untuk berburuk sangka kepada orang lain. Dan terlalu mudah bagi lidah kita yang tidak bertulang ini untuk melemparkan sangkaan kita yang entah benar entah tidak di tengah-tengah perbualan bersama orang lain. Jangan begitu rakan-rakanku. Walaupun seseorang itu mempunyai dosa setinggi gunung, kita wajib merahsiakannya dari disebar-sebar kesalahannya itu kepada orang lain. Benarkah begitu ? Mari kita lihat contoh-contoh dari sunnah Rasulullah.

1) Dalam suatu hadis, Rasulullah didatangi oleh seseorang yang mengaku dia berzina. Rasulullah masih bersangka baik dengannya. Rasulullah berulang kali bertanya jika dia hanya menyentuh/meraba pasangannya sahaja. Dan orang itu menjawab tidak (bahawa dia benar-benar melakukan zina). Rasulullah bertanya lagi jika orang itu tidak waras ketika melakukan perkara tersebut. Sekali lagi orang itu menjawab tidak. Rasulullah sampai bertanya kepada sahabat jika mereka tahu ada sifat-sifat tidak waras pada orang tersebut. Mereka menjawab tidak. Lalu nabi hukum orang itu dengan hukuman hudud. 

Dari sini, kita dapat bertanya satu soalan penting : Adakah nabi bertanya siapa pasangan orang tersebut ? Adakah nabi sampai menyelidik dengan siapa dia berzina ? Tidak sama sekali. Allah larang kita mencari-cari kesalahan atau bercakap tentang kesalahan orang walaupun kita tahu orang itu benar-benar telah melakukan kesalahan, inikan pula jika kita hanya membuat sangkaan.

2) Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Tiada seseorang hambapun yang menutupi cela seseorang hamba yang lain di dunia, melainkan ia akan ditutupi celanya oleh Allah pada hari kiamat." (Riwayat Muslim)

Jika kita tahu sahabat kita melakukan kesalahan, tidak wajar kita menghukumnya dengan menceritakan kesalahannya kepada orang lain meskipun jika kita berniat baik. Kenapa ? Kerana kita tidak berhak mengambil haknya untuk bertaubat kepada Allah dan tiadalah yang boleh menghukum melainkan Allah. 

3) Allah memberi ancaman kepada orang yang suka jika perkara buruk tentang seseorang itu berlegar menjadi buah mulut orang lain. Allah Ta'ala berfirman:

"Sesungguhnya orang-orang yang suka jikalau keburukan itu merata di kalangan orang- orang yang beriman, maka orang-orang yang bersikap demikian itu akan memperoleh siksa yang pedih, baik di dunia maupun di akhirat."

4) Allah sendiri membuka peluang seluas-luasnya kepada manusia untuk kembali bertaubat kepadaNya dan menutup segala pintu-pintu bisikan syaitan yang membisikkan bahawa Allah tidak akan mengampunkan lagi dosa kita. Allah berfirman :
 إِنَّ اللَّهَ لاَ يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَن يَشَآءُ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْماً عَظِيماً
Maksudnya : Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.(4:48)


Dan Allah memberi peringatan kepada manusia supaya jangan putus asa dari rahmat Allah dan bahwa jika tiada manusia mampu memaafkan kita, jangan putus asa kerana Allah mampu memaafkan apa sahaja kesalahan kita jika kita bertaubat. Allah berfirman : 
قُلْ يعِبَادِىَ الَّذِينَ أَسْرَفُواْ عَلَى أَنفُسِهِمْ لاَ تَقْنَطُواْ مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعاً إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.(39:53)


Jika sangkaan dan andaian buruk kita kepada seseorang menyebabkan kita menceritakan kesalahan orang tersebut kepada orang lain di kala gelak ketawa bersama orang lain, di kala membuat status dan komen di Facebook dan YM, meskipun berniat baik, ketahuilah bahawa kita telah berlebih-lebihan dan menyalahi sunnah Rasulullah.


Allah lebih mengetahui..