Labels

Tarbiyyah Allah melalui kesilapan

[tag (umum): bangun, jangan jatuh lagi]

kesilapan ialah sesuatu yang tidak boleh dipadam, tetapi ia boleh diampunkan
Penciptaan Nabi Adam A.S. telah menimbulkan kerisauan oleh para Malaikat yang berada di Arasy. Mereka yang patuh kepada Allah tanpa leka walau sesaatpun, tidak mahu tuhan Allah dimaksiati oleh makhluk ciptaanNya sendiri. Oleh kerana kerisauan suci ini semakin kuat, hal ini membuatkan para Malaikat bersuara untuk mempersoalkan perancangan Allah untuk mencipta makhluk yang bernama manusia untuk mendiami muka bumi ini. Kerisauan para Malaikat ini dirakamkan oleh Al-Quran mafhumnya:

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi". Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui". Al-Baqarah, 2:30.
Oleh kerana hikmah pengetahuan Allah yang maha luas, Adam A.S. diciptakan. Diriwayatkan saat nyawa dihembuskan ke jasad Adam A.S. baginda terbersin diikuti dengan ucapan Alhamdulillah. Sungguh ucapan Adam A.S. ketika itu mengagumi para Malaikat yang berada di sekelilingnya kecuali seorang iaitu Iblis. Iblis merasakan dirinya lebih baik daripada makhluk yang bernama Adam A.S. Lalu, saat Allah memerintahkan supaya semua Malaikat untuk tunduk sujud kepada Adam A.S, semuanya tunduk kecuali Iblis. Kedegilan Iblis membuatkannya menjadi kafir ('ingkar') serta merta kepada Allah lalu pada hari itu dia menjadi ahli neraka dan berdoa kepada Allah untuk kekal sehingga hari akhirat bagi membolehkannya mengumpul teman-teman nerakanya yang lain.

Adam A.S. kemudiannya diizinkan menetap di syurga bersama Hawa R.A. dengan satu syarat mereka tidak mendekat sebatang pohon [2:35]. Setelah beberapa tempoh di dalam syurga, syaitan yang mencemburui penciptaan Adam A.S. merancang untuk menggoda Adam A.S. membuat maksiat terhadap Allah S.W.T. Lalu syaitan membisikkan sesuatu yang menyedapkan telinga Adam A.S. Sungguh syaitan itu ialah makhluk yang tahu benar bagaimana ingin menipu Adam A.S. dan keturunannya. Syaitan membisikkan:

Kemudian syaitan membisikkan pikiran jahat kepadanya, dengan berkata: "Hai Adam, maukah saya tunjukkan kepada kamu pohon khuldi dan kerajaan yang tidak akan binasa?" At-Taha, 20:120
Lalu Allah murka pada Adam A.S. dan memerintahkan Adam A.S., Hawa R.A. dan makhluk yang menyesatkan Adam A.S. untuk turun ke dunia.

Ketika itu tertaballah kenabian Adam A.S. sebagai khalifah Allah yang pertama di muka bumi bersama Hawa R.A. Nabi Adam A.S. memohon taubat daripada Allah S.W.T. dan Allah mengampunkan hambanya yang soleh yang ingat pada TuhanNya apabila dia membuat kesilapan.
Tentu kita tertanya-tanya bagaimana Adam A.S. yang sudahpun melihat Allah, mendengar suara Allah S.W.T. dan sudah menikmati syurga tetapi masih tergerak melakukan maksiat terhadap Allah S.W.T? 

Namun, begitulah tarbiyyah yang ingin Allah berikan kepada Adam A.S. Begitu juga kita manusia yang merupakan keturunan Adam A.S. Tidak sepatutnya kita persoalkan kewibawaan Nabi Adam A.S. dengan mengapa beliau melakukan kesilapan, sedangkan Nabi Adam A.S. belum lagi mengetahui bagaimana keadaan orang digelincirkan oleh syaitan kerana beliau manusia yang pertama.

Nabi Adam A.S. tidak punyai contoh, beliau tidak punyai rujukan bagaimana realiti manusia melakukan kesilapan dan diperdayakan oleh syaitan. Kitalah yang sepatutnya merasakan hina kerana kita sudahpun hidup dengan sejarah dan sirah bagaimana manusia digelincirkan oleh syaitan dan bagaimana kaum-kaum sebelum ini diseksa oleh azab Allah S.W.T kerana keingkaran mereka, namun mengapa kita masih melakukan kesilapan. Kita sudah melihat contoh bagaimana dakwah Nabi Muhammad S.A.W berjaya sehingga menakluki 2/3 dunia tetapi kita masih lagi terkapai-kapai untuk mencontohi mereka.
Sama seperti Adam A.S, Nabi Daud A.S. juga melakukan kesilapan apabila memberikan keadilan yang salah dengan membuat keputusan tanpa soal siasat yang adil terhadap kedua-dua belah pihak yang mengadu. Hal ini dirakamkan oleh Allah S.W.T dalam firmannya [38:23-25]:

Daud berkata: "Sesungguhnya dia telah berbuat zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu untuk ditambahkan kepada kambingnya. Dan sesungguhnya kebanyakan dari orang-orang yang berserikat itu sebahagian mereka berbuat zalim kepada sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh; dan amat sedikitlah mereka ini". Dan Daud mengetahui bahwa Kami mengujinya; maka ia meminta ampun kepada Tuhannya lalu menyungkur sujud dan bertaubat. As-Sad, 38:24
Begitulah tarbiyyah Allah berikan kepada manusia-manusia yang hebat iaitu dengan kesilapan.  Bagaimana pula kita seorang hamba yang juga melakukan kesilapan dengan menganggap diri kita ini tidak layak untuk menyeru manusia ke jalan Allah kerana kesilapan kita, sedangkan kesilapan itu sendiri merupakan satu tarbiyyah daripada Allah? Ketahuilah kita sebagai manusia, sesungguhnya Nabi-Nabi juga membuat silap, tetapi kesilapan itu membuat mereka semakin teguh menegakkan agama Allah setelah bertaubat. Jangan kita terlalu memandang kesilapan kita sebagai satu kelemahan yang tidak boleh dimaafkan, kerana keturunan Adam A.S. begitulah lumrahnya, tidak bebas daripada melakukan kesilapan.

Mari kita menilai tarbiyyah daripada sudut cara pandang yang berbeza bukan dengan pandangan yang suci putih sahaja. Sesungguhnya hari ini, seorang hamba Allah memandang kesilapan itu suatu yang keji dan jatuh standard level 'baik' nya apabila satu-satu kesilapan dilakukan. Duhai hamba Allah, kita ini hanya manusia bukan malaikat, bersamalah kita menyeru menuju Allah, itu lebih penting. Jangan dek kerana satu-satu kesilapan kita mengundur diri daripada menjadi abdi sejati, sedangkan itu ialah tarbiyyah Allah bagi kita. Teruskan langkah dengan teguh duhai manusia, ketahuilah Nabi Adam AS, Nabi Daud AS, Khalid Al-Walid, Sayyidina Abu Bakar juga tidak terlepas melakukan kesilapan, namun nama mereka tetap ditulis dalam tulisan emas sejarah Islam kerana mereka orang yang bertakwa yang mengambil kesilapan sebagai satu wasilah tarbiyyah bukan pengecilan diri.

Percayakanlah pada diri sendiri, kehidupan Islam di muka bumi ini ibarat sebuah pengemberaan. Jika kita ingin berehat, janganlah berehat terlalu lama kerana ingin memuhasabahkan kesilapanmu, tetapi berehatlah apabila malakul maut menjemputmu, insyaAllah.

IkhwanJamal
http://kbrkatn.wordpress.com