Kita biasa mendengar firman Allah yang berbunyi :
"Barangsiapa yang berat timbangan amalnya, maka dia diliputi kehidupan yang senang lenang di Syurga, dan barangsiapa yang ringan timbangan amalnya, maka tempat kembalinya ialah Neraka Hawiyah."
Ini berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Qariah, ayat [101:6-9]. Dan di dalam al-Quran (sekadar penemuan saya), Allah telah mengulangi janjinya ini sebanyak 3 kali iaitu di Surah al-Qariah seperti diatas, Surah al-A'raf [7:8-9] dan Surah al-Mukminun [23:102-103].
JANJI ALLAH
Jika kita teliti ayat dari Surah al-Qariah tersebut, kita akan dapati bahawa insan yang berat timbangan amalnya, maka dia akan berada dalam kehidupan yang senang lenang dan puas di Syurga (i'isyatin radhiah). Kemudian, Allah tidak mengulangi ayat seterusnya dengan menceritakan keadaan atau situasi orang yang sebaliknya tetapi Allah mengatakan, insan yang ringan timbangan amalnya maka tempat tujunya ialah neraka Hawiyah (berasal dari kata hawa, bermaksud neraka yang sangat jauh kedalamannya).
Jadi, bagi mereka yang berat timbangan amalnya, kita dapat lihat bahawa Allah memberitahu KEADAAN mereka di syurga kelak yakni berada dalam kehidupan yang senang dan kepuasan. Sedangkan bagi mereka yang sebaliknya, Allah hanya memberitahu TEMPAT kembalinya mereka dan tidak memberitahu keadaan mereka kelak kerana kita sudah dapat mengagak bahawa keadaan mereka pastinya berada di dalam sangat-sangat penyesalan, kesakitan dan sebagainya lagi yang tidak terjangkau oleh pengetahuan kita.
Ini sama seperti firman Allah dalam Surah as-Sajdah [32:12] di mana orang-orang yang berdosa merayu kepada Allah supaya dikembalikan semula ke dunia setelah melihat azab neraka yang amat pedih :
"Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin".
Kemudian apabila kita teliti ayat Surah al-A'raf dan Surah al-Mukminun, konteks ayat dalam kedua-dua surah tersebut adalah sama, yakni barangsiapa yang berat timbangan amalnya, mereka merupakan orang-orang yang BERJAYA sedangkan mereka yang ringan timbangan amalnya, mereka merupakan orang-orang yang MERUGIKAN DIRI SENDIRI.
Cuba anda lihat sendiri kedua-dua ayat tersebut, konteksnya sama, bercakap tentang kejayaan dan kegagalan. Ini sepatutnya memberi perspektif baru kepada kita tentang definisi kejayaan dan kegagalan dalam hidup. Manusia mendefinisikan kejayaan dalam hidup sebagai pencapaian yang terhebat dalam segala bidang yang diceburi. Sedangkan pencipta kita mendefinisikan kejayaan dengan beratnya timbangan amal, dan definisi siapakah yang lebih baik?
Jika kita mengikuti definisi manusia, boleh jadi kita seorang yang berjaya, dan boleh jadi kita seorang yang gagal dalam hidup. Ini kerana Allah memberi kita kelebihan, potensi, dan menentukan takdir yang berbeza kepada kita. Jadi seorang yang tidak berjaya dalam akademik tidak boleh dipanggil "loser" kerana Allah menentukan jalan yang berbeza kepada kita.
Jika kita mengikuti definisi Allah tentang kejayaan, semua orang, setiap insan, boleh berjaya tidak kira lelaki atau perempuan, miskin atau kaya. Hal ini kerana Allah tidak sekali-kali membebankan seorang dengan apa yang tidak mampu dikerjakan olehnya seperti firmanNya dalam Surah al-Baqarah [2:286] : "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya." Maka, seseorang yang miskin tidak diwajibkan menunaikan haji jika dia tidak berkemampuan. Adakah kita ingin mengatakan dia gagal di sisi Allah?
Jadi definisi yang terbaik tentang kejayaan dan kegagalan dalam hidup tentunya definisi daripada Allah. Dan definisi ini membuatkan kita berasa lega, tenang, dan menimbulkan rasa "competitive" untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan. Semua orang ada peluang sendiri untuk melakukan kebaikan, dan tiada satu pun amalan yang terlepas dari catitan malaikat walaupun sekadar membuang ranting di jalanan. Definisi ini jika difahami oleh sekalian manusia, pasti tiada yang ingin menghabiskan saat-saat hidup mereka dengan perkara yang tidak berfaedah apatah lagi perkara yang dimurkai Allah.
3 PENAFSIRAN MENARIK TENTANG MIZAN (TIMBANGAN)
Terdapat penafsiran yang menarik oleh ulama tentang bagaimana amalan kita ditimbang kelak, yang akan saya jelaskan selepas ini. Selalu kita menerima tafsiran yang popular bahawa di akhirat nanti, amalan kita dibahagikan kepada amalan baik dan amalan buruk. Atau kita boleh bayangkan sebagai percent. Contoh jika amalan baik kita 51% dan amalan baik kita 49%, insyaAllah dengan rahmat Allah kita berjaya menjadi ahli syurga.
Jadi, jika kita pandang secara "visually", terdapat satu dacing, dikumpulkan amalan baik di sebelah kanan, dan dikumpulkan pula amalan buruk di sebelah kiri lalu ditimbang yang mana satu yang lebih berat, lalu itulah yang menjadi tolok ukur di mana nasib kita selepas itu.
Pandangan kedua oleh ulama ialah, kita tidak menjumpai kata Mizan (timbangan) akan tetapi kita menjumpai kata Mawazin (timbangan-timbangan) di dalam al-Quran. Jadi, sebahagian ulama berpandangan bahawa maksud Mawazinuhu ialah yang ditimbang. Ini bererti, di antara banyak-banyak amal kita di dunia ini, ada yang ditimbang, dan ada yang tidak ditimbang. Maka siapa yang berat timbangan amal-amalnya yang ditimbang, maka dia akan masuk ke syurga Allah dan berada dalam kehidupan yang memuaskan (fi ii'syatin radhiah).
Kita pasti tertanya-tanya kenapa ada amalan yang tidak ditimbang ? Hal ini telah dijawab oleh Allah dalam Surah al-Kahf [8:105] yang berbunyi, "Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak." Jadi, jika kita buat satu ilustrasi, jika kita ingin jual buah mangga kepada pembeli, tetapi buah itu jelas-jelas busuk, maka perlukah kita timbang lagi ? Adakah pembeli tersebut akan membeli juga buah itu ? Maka tiada guna menimbang amalan yang sudah busuk.
Seterusnya, pandangan ketiga oleh ulama yang lebih menarik untuk kita jadikan panduan ialah, setiap amal ada anak timbangannya. Seperti zaman dulu-dulu, jika kita letak barang di sebelah kanan dacing, pasti kita letak pemberat/anak timbangan di sebelah kiri. Atau mungkin kita boleh fahami sepertimana dalam akademik, terdapat pemberat 4.0, 3.5 dan sebagainya.
Jadi, jika Allah meletakkan pemberat bagi solat ialah 5 kg lalu timbangan solat kita kurang daripada itu dek kerana kelalaian dan fikiran yang tidak menumpukan pada solat, mungkin amalan kita itu ditolak kerana tidak mencukupi syarat yang ditetapkan oleh Allah. Oleh sebab itu, untuk setiap amalan yang kita lakukan, hendaklah kita melakukannya dengan sesempurna mungkin, bersungguh-sungguh dan menuruti kehendak Allah supaya amalan kita diterima olehNya. Jika professor kita tidak puas hati dengan homework kita, adakah kita hanya membiarkan markah kita ditolak? Sudah tentu kita akan mengulangi membuatnya walaupun bersengkang mata. Nah, bagaimana pula sikap kita dengan Allah?
Penafsiran ketiga ini juga mengajar kita supaya melebihkan amalan kita melebihi apa yang diwajibkan. Contoh jika kita memberi sedekah/infaq ke masjid, berilah barangan yang elok dan berharga. Sekurang-kurangnya, kita bersihkan barang itu sebersih-bersihnya, kita letak dalam bekas yang cantik, lalu diletakkan di masjid tanpa sesiapa melihat diri anda, itu semua pastinya mendapat ganjaran dari Allah. Dan amalan-amalan yang nampak kecil itu akan menampung amal kita yang lain.
Jika zaman berzaman, manusia ciptaan Tuhan berjaya mencipta neraca timbangan yang lebih "precise", pelik apa jika pencipta itu sendiri mempunyai neraca timbangan yang mampu menimbang setiap amal manusia tanpa ada yang tertinggal satupun.
InsyaAllah kita sama-sama mengambil manfaat daripada artikel kali ini. Dan semoga kita lebih menghargai dan menghalusi amalan-amalan kita supaya kelak amalan tersebut membantu kita untuk ke syurga Amiin.
No comments:
Post a Comment