Labels

Salam Perpisahan Buat Para Senior

Minggu lalu baru sahaja tamat Commencement bagi para pelajar Senior. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada anda semua atas kejayaan yang anda capai dan pastinya semua itu akan menjadi contoh tauladan bagi kami. Saya merasakan seperti baru sahaja datang ke US ini dan baru sahaja mengenali sedikit sebanyak para Senior, tup-tup mereka sudah ingin pulang ke Malaysia untuk mencipta kerjaya mereka masing-masing.


Saya rasa tidak cukup di sini untuk mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada para pelajar Senior lelaki mahupun perempuan yang telah membantu kami selama anda berada di sini. Terutama apabila kita melakukan aktiviti bersama seperti pergi ke Michigan, Atlanta dsb untuk menuntut sedikit sebanyak ilmu agama. Bagi saya, para pelajar Seniorlah yang telah membuka mata dan hati saya di sini untuk terus mendekati Allah dengan menuntut ilmu agama bersesuaian dengan firman Allah :


إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاء

Sesungguhnya yang takut kepada Allah itu ialah orang-orang yang berilmu (35:28)


Sebelum ini, saya beranggapan bahawa Islam tidak mendapat tempat di hati orang Amerika. Namun, sebenarnya saya silap dan saya percaya, ramai di kalangan orang Malaysia terutamanya dan negara-negara Islam yang lain amnya masih berpandangan negatif kepada Amerika. Bagaimana menurut sabda Rasulullah :


الإسلام يعلو ولا يعلى عليه

Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripada Islam.


Sungguh saya lihat sendiri bagaimana Islam dapat menyatu-padukan orang-orang Amerika. Sebenarnya, Amerika merupakan negara yang mempunyai pelbagai lapisan masyarakat. Mungkin saya boleh katakan semua bangsa yang ada di dunia terdapat di Amerika ini. Jika kita lihat baru-baru ini juga di mana di New York, terdapat cubaan untuk meletupkan kenderaan oleh seorang suspek yang dipercayai orang Pakistan. Kejadian tersebut telah menyebabkan orang-orang Pakistan di Amerika berasa kecewa dan terguris hati kerana pandangan dunia kini ditumpukan kepada mereka. Dan, apa yang mengejutkan saya, mereka juga mempunyai akhbar mereka sendiri yang berbahasa Pakistan! Itu adalah satu contoh yang dapat saya beri untuk menunjukkan bahawa Amerika mempunyai lapisan masyarakat yang unik.



Berbalik kepada Islam dapat menyatukan bangsa yang saya sebutkan tadi. Saya dapat melihat bagaimana orang kulit hitam dan orang kulit putih mampu duduk sekali, solat bersama dan melakukan aktiviti tanpa rasa perkauman kerana dalam Islam, kita semua adalah bersaudara. Sebenarnya, suasana perkauman atau mungkin lebih tepat perasaan ketidakpedulian (ignorance) masih sedikit sebanyak terlihat di kalangan orang Amerika. Saya tidak nafikan bahawa di negara seperti Amerika, pepatah siapa cepat dia dapat lebih tepat untuk menggambarkan suasana di sini. Namun, apa yang pasti, masalah perkauman itu pasti ada di mana-mana di pelusuk dunia ini.

Allah yang menciptakan semua manusia, Dia sedia tahu bahawa manusia pasti akan berpecah belah membela dan menaikkan puak dan kaum masing-masing lalu Dia menegaskan bahawa puak, kabilah, kaum, parti, mahupun persatuan hendaklah dibangunkan di atas dasar kenal-mengenali, bersatu padu dan bekerjasama tanpa ada rasa prejudis dan buruk sangka. Dan Allah juga menegaskan bahawa tiada kaum mana pun di kalangan manusia yang mendapat tempat di sisinya melainkan kaum yang bertakwa. Ini dinukilkan seperti firmanNya :


يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوباً وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (49:13)


Saya boleh katakan bahawa jika bukan kerana Islam, Amerika kini masih gelap diselimuti api permusuhan antara kaum. Jika kita soroti kembali tokoh-tokoh yang membawa perpaduan di Amerika, kita mampu mengingat nama Abraham Lincoln, namun kita lupa atau memang kita langsung tidak disajikan sejarah tentang Malcolm X atau nama sebenarnya El-Hajj Malik El-Shabazz hanya kerana dia memperjuangkan keadilan Islam. Tidak keterlaluan rasanya jika saya katakan bahawa Islam bertapak teguh di Amerika sejak zaman Malcolm X, seorang yang berbangsa kulit hitam dan beliau sepertimana pejuang-pejuang Islam dalam sejarah, mati kerana dibunuh.



Peminggiran orang-orang kulit hitam di Amerika dahulu amat teruk sekali sehinggalah suara-suara Islam seperti Malcolm X membebaskan mereka dari belenggu kerakusan nafsu kuasa pemerintahan kepada keadilan hak dan kebebasan.



Ternyata, kita selaku orang Islam mestilah meyakini kebenaran Islam sebagai satu-satunya agama yang diredhai Allah. Hendaklah kita sentiasa meningkatkan pengetahuan kita tentang Islam supaya kita dapat mendekatkan diri kepada Allah, dan akhirnya berada si kalangan orang-orang yang dekat (Muqarrabin) di sisi Allah S.W.T. Akhir kata, ucapan tahniah sekali lagi kepada para pelajar Senior year.


Yang menulis,

Tinta Muhandis.

2 comments:

  1. Beautifully written. Thank you adik2 vandy! all the best in your future endeavors.

    ReplyDelete
  2. wah...sedih pulak baca ni..insyaAllah panjang umur ketemu lagi..

    ReplyDelete