Labels

Tuhan Dosaku Menggunung Tinggi

Kita manusia tidak akan pernah terlepas daripada melakukan dosa dan kesilapan. Sama ada dosa sesama manusia mahupun dosa dengan Allah.

Selalunya apabila kita berdosa kepada manusia, kita mudah melafazkan ampun dan maaf namun apabila kita berdosa kepada Allah, kita suka bertangguh dan lebih teruk lagi jika kita tidak merasakan perbuatan kita itu sebagai dosa dan maksiat kepada Allah.

Apabila kita terpijak kaki kawan, kita terus kata "Weyh,sori-sori. Aku betul-betul tak sengaja". Apabila kita berdosa dengan ibu bapa pula, kita terus mohon maaf dan berjanji tidak akan buat lagi. Paling-paling kurang, kita pasti minta maaf kepada ibu bapa ketika Hari Raya. Apabila kita berdosa dengan guru suatu ketika dahulu, pun terus kita mohon maaf. Paling-paling kurang pun, kita pasti akan memohon maaf ketika Hari Guru atau sebelum mengambil SPM supaya mendapat keberkatan.

Kita sudah terbiasa dengan amalan memohon maaf pada waktunya yakni Hari Guru, Hari Ibu, Hari Bapa. Tetapi, bagaimana pula dengan Hari Allah? Sedangkan kita melakukan dosa kepadaNya setiap hari? Adakah kita ingin mengatakan bahawa Allah itu hanya wujud pada Hari Jumaat ketika kita solat Jumaat dan Hari Raya Aidilfitri ketika solat Hari Raya? Nauzubillah min zalik. Ketahuilah bahawa Allah setiap saat mengawasi kita tanpa mengantuk, tidur mahupun penat mentadbir hal ehwal ciptaanNya seperti dirakamkan dalam ayat kursi (2:255).

Adakah amalan kita seharian terutama solat benar-benar khusyuk dan ikhlas kepadaNya atau masih dilakukan sambil memikirkan homework yang belum siap? Adakah dalam setiap perkara dan situasi, kita mementingkan Allah lebih dari segala perkara yang lain? Sudahkah kita bersedia dengan amalan-amalan yang soleh apabila tibanya saat kematian? Serta, adakah kita sudah melaksanakan segala kewajipan yang Allah taklifkan ke atas kita? Fikir-fikirkanlah kembali.

Sebenarnya, kita sendiri yang menzalimi diri kita. Kita yang sengaja menyibukkan diri dengan pelbagai perkara sehingga melupakan kewajipan kita kepada Allah. Sedangkan jika kita ingin kira kembali masa yang telah dihabiskan memberi makan ikan dalam Fishville, berchatting menggunakan YM dan sebagainya lagi, sepatutnya kita rasa menyesal kerana tidak menggunakan masa tersebut untuk membaca Al-Quran, menelaah buku-buku agama atau paling kurang berzikir kepada Allah.


Kita sering menyalahkan ibadah sebagai membuang masa kita. Benar atau tidak? Solat tidak sampai lima minit yang kita salahkan apabila tidak siap homework. Solat tahajud dan subuh pula dipersalahkan apabila kita tidak fokus dalam kelas. Begitu juga solat berjemaah di Annex menyebabkan kita tidak sempat mengambil makanan tengahari seterusnya mengurangkan tenaga untuk kelas seterusnya. Fikir-fikirkanlah para sahabat sekalian!

Saya mengakhiri artikel kali ini dengan doa Nabi Musa kepada Allah dalam surah Al-Qasas (28:10):
قَالَ رَبِّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي فَاغْفِرْ لِي فَغَفَرَ لَهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri; oleh itu ampunkanlah apa jua dosaku". (Maka Allah Taala menerima taubatnya) lalu mengampunkan dosanya; sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Oleh: Mr. FBI

2 comments:

  1. Betul2..Hari Allah ialah hari-hari..5 waktu yang esklusif

    ReplyDelete
  2. ya..perbaikilah solat kita dahulu..

    ReplyDelete